MEDIA SELANGOR PERKASA KECEKALAN MAKLUMAT MENDEPANI KRISIS BEKALAN GLOBAL
SHAH ALAM, 22 APRIL 2026 – Media Selangor Sdn Bhd (MSSB) hari ini memperkukuh komitmen strategiknya dalam mendepani cabaran ekonomi dunia lewat krisis bekalan global yang kini memasuki fasa tekanan berpanjangan.
Kenyataan tersebut disampaikan menerusi ucapan Amanat Khas oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree dalam perhimpunan warga kerja hari ini, yang memberi penekanan khusus terhadap Krisis Bekalan Global 2026 dan kesannya kepada pelbagai sektor industri. Menurut beliau, sebagai organisasi media rasmi negeri, warga MSSB harus berada di barisan hadapan (forefront) bukan sahaja dalam pelaporan, tetapi juga dalam aspek ketahanan organisasi. Justeru, beliau menggesa seluruh warga kerja untuk sentiasa peka dengan berita semasa dan mendalami konten ilmiah yang bermanfaat bagi memahami dinamika krisis global.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru seluruh warga kerja untuk memberikan sokongan berterusan kepada Misi Sumud Flotilla, sebuah inisiatif flotilla kemanusiaan yang sedang berlangsung sebagai manifestasi kecekalan dan solidariti melampaui sempadan.
Perhimpunan tersebut turut menyaksikan penyampaian Hadiah Impak Editorial (HIE) sebagai pengiktirafan kepada warga kerja Media Selangor yang berjaya menghasilkan kandungan berkualiti tinggi dan memberi impak besar kepada organisasi serta masyarakat Selangor. Penyampaian ini diharapkan dapat membakar semangat warga kerja untuk terus berinovasi dan mengekalkan standard kecemerlangan dalam setiap pelaporan.
MSSB akan terus komited dalam memastikan aliran maklumat yang tepat dan berwibawa sampai kepada rakyat, sekali gus memastikan Selangor kekal berdaya tahan dalam mendepani apa jua krisis di peringkat global.
