SELANGORTV SERTAI PERKHIDMATAN PENSTRIMAN OTT PERCUMA MALAYSIA BERMULA 1 OGOS

SELANGORTV SAJI KANDUNGAN SEMUANYA TERBAIK DI SELANGOR UNTUK PENONTON MYTV MANA-MANA

SELANGORTV SERTAI PERKHIDMATAN PENSTRIMAN OTT PERCUMA MALAYSIA BERMULA 1 OGOS

SHAH ALAM, 1 OGOS 2023 – Bagi memperluas capaian tontonan, SelangorTV menyertai MYTV Mana-Mana iaitu perkhidmatan  enstriman Over-the-Top (OTT) percuma Malaysia dan mula bersiaran secara rasmi di platform berkenaan pada 1 Ogos, hari ini.


Melalui MYTV Mana-Mana, siaran SelangorTV boleh ditonton melalui pelbagai peranti digital seperti komputer, tablet atau telefon mudah alih di www.mana2.my dan juga melalui aplikasi yang boleh dimuat turun di Google Play Store dan App Store secara percuma.


Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor Sdn Bhd, Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree, “Media Selangor Sdn Bhd melalui salah satu jenama dimilikinya iaitu SelangorTV mengorak langkah menerusi jalinan kerjasama dengan MYTV Broadcasting Sdn Bhd untuk
mempertingkat capaian tontonan dengan menyertai platform penstriman nasional MYTV Mana-Mana dengan mempromosi pelbagai kandungan mengenai negeri Selangor yang boleh diterokai oleh penonton MYTV Mana-Mana dari serata tempat.”

SelangorTV telah diperkenalkan oleh MYTV sebagai salah satu saluran TV baharu di platform OTT mereka di majlis pelancaran aplikasi MYTV Mana-Mana yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian
Komunikasi dan Digital, Mastura Ahmad Mustafa di Aeon Mall Tebrau City, Johor Bahru pada 22 Julai lepas.

Setakat 29 Julai 2023 selepas pelancarannya, aplikasi MYTV Mana-Mana telah mencapai sebanyak 46,000 muat turun dan mempunyai 39,000 pengguna aktif dengan jumlah tontonan lebih 227,000. “Menerusi siaran melalui platform MYTV Mana-Mana, SelangorTV optimis jumlah tontonan dapat diperluas dengan menarik penonton baharu melalui pelbagai program yang akan disajikan kepada penonton, dan ini juga merupakan salah satu langkah untuk kami
mempertingkat kualiti bahan yang akan disiarkan kepada penonton,” kata Ketua Kluster
Digital Media Selangor, Mohamad Khairulnizam Bakeri.

SelangorTV akan bersiaran setiap hari di MYTV Mana-Mana dari pukul 6.00 pagi hingga 10.00 malam dengan sajian pelbagai program seperti program keagamaan – Nutrisi Jiwa, 30 hari 30 ayat; rancangan infohibur – Discover Selangor yang memaparkan gaya hidup, pelancongan, budaya, makanan di Selangor; termasuk program lain seperti Tanya Netizen, Respon Rakyat, Senyum, Apa Cer YB, Seloka, Skop juga program liputan langsung. Sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, SelangorTV juga menyiarkan rancangan khas iaitu Undi Selangor, program berbentuk infotainment yang membawakan berita seperti aktiviti YB EXCO, ADUN dan komuniti Selangor yang bersiaran setiap hari pada pukul 7.30 pagi, 5.00 petang dan 9.00 malam.

SelangorTV juga turut membawakan program bual bicara dan perbincangan mengenai PRN dan landskap politik dalam Bahasa Inggeris – Lunch On Us! yang bersiaran langsung setiap hari sepanjang tempoh PRN pada pukul 1.00 tengah hari.

Menerusi MYTV Mana-Mana, penonton dapat mengakses pelbagai kandungan program tempatan dan luar negara dalam definisi tinggi (HD), radio dan on-demand pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Terdapat 17 saluran TV dan 15 siaran radio di MYTV Mana-Mana seperti TV1, TV2, TV Okey, IKIM TV, TV6, SUKE TV, Bernama TV, TV Alhijrah termasuk SelangorTV selain saluran TV luar negara seperti TVRI, TVRI World, Horizon Sports, Motor Racing, MycinemaEurope dan Enjoy TV5.

Sebagai platform digital, penonton SelangorTV dan saluran lain boleh menikmati kelebihan MYTV Mana-Mana yang dilengkapi dengan ciri-ciri aplikasi penstriman yang membolehkan penonton untuk menikmati saluran TV, stesen radio, kandungan on-demand dengan fungsi play, fast forward, rewind, pause dan catch up TV sehingga tujuh (7) hari serta content sharing, picture-in-picture (PIP), panduan TV interaktif dan siaran tanpa gangguan.

#SegarSemasaSelangor
#TerbaikSelangorSemuanyaDiSini
#We’veGotSelangorCovered

Tags: No tags