PRNSELANGOR.MY: PORTAL KHAS PRN SELANGOR LAPOR LANGSUNG BERITA DAN ANALISIS KEPUTUSAN PILIHAN RAYA NEGERI SELANGOR UNTUK RUJUKAN ORANG RAMAI
SHAH ALAM, 10 JULAI 2023 – Media Selangor Sdn Bhd (MSSB) memperkenalkan portal khas pilihan raya negeri (PRN) Selangor iaitu prnselangor.my bagi menyampaikan laporan langsung perkembangan semasa PRN Selangor berserta maklumat analisis kerusi Dewan Undangan Negeri Selangor yang dipertandingkan untuk rujukan orang ramai.
Portal khas PRN Selangor, prselangor.my yang pertama kali dibangunkan oleh MSSB dilancarkan secara rasmi oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari disaksikan oleh Ahli Lembaga Pengarah dan Ahli Lembaga Penasihat Editorial MSSB, Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) MBI, dalam majlis pelancaran yang berlangsung di ibu pejabat MSSB Shah Alam hari ini selepas menyampaikan amanat khas kepada seluruh warga MSSB.
“Sebagai media rasmi kerajaan negeri Selangor yang berperanan untuk mewujudkan sistem komunikasi berkesan antara kerajaan negeri dan rakyat, portal khas PRN Selangor yang dibangunkan Media Selangor ini bertujuan bukan sahaja untuk menyampaikan berita dan perkembangan terkini berkaitan PRN Selangor secara pantas kepada orang ramai, malah ia merupakan projek perintis MSSB kepada pelaporan berdasaran data dan analisis,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MSSB, Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree.
Portal prnselangor.my menyediakan beberapa ciri untuk rujukan orang ramai iaitu kemaskini keputusan secara langsung, maklumat 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, statistik setiap DUN, dan manifesto setiap parti bertanding.
Selain itu, maklumat DUN di portal berkenaan turut dilengkapi fungsi analisis yang memaparkan perbandingan data untuk semua 56 kerusi DUN Selangor merangkumi maklumat terperinci seperti penyandang kerusi, jumlah dan demografi pengundi, pola pengundian serta sejarah pilihan raya sebelum ini sejak PRU edisi ke-12.
Portal khas PRN Selangor tersebut boleh diakses orang ramai bermula hari ini di www.prnselangor.my menggunakan desktop dan telefon pintar untuk mengikuti perkembangan dan mendapatkan info terkini pilihan raya negeri Selangor. Maklumat calon yang bertanding untuk semua kerusi DUN Selangor akan dikemaskini selepas hari penamaan calon pada 29 Julai nanti.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 12 Ogos sebagai tarikh mengundi bagi PRN Selangor. Pada hari pengundian, keputusan yang disahkan pusat pejumlahan undi SPR di setiap kawasan akan dikemaskini di portal prnselangor.my yang turut disertakan dengan analisis dan laporan langsung daripada wartawan di lokasi sepanjang tempoh hari pengundian berlangsung.
Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat mengenai panduan mengundi dan semakan mengundi di portal prnselangor.my, dan menonton video panduan mengundi yang diterbitkan oleh SelangorTV.
MSSB menerusi platform TV digitalnya – SelangorTV turut membawakan rancangan khas menjelang PRN iaitu ‘Undi Selangor’, program berbentuk infotainment yang membawakan berita seperti aktiviti calon PRN, profil kerusi DUN, analisis keputusan, serta aktiviti komuniti Selangor yang bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat, 5.00 petang di saluran YouTube www.youtube.com/@selangortvmy dan TikTok https://www.tiktok.com/@selangortv serta semua platform media sosial Media Selangor.
Siaran Undi Selangor dipertingkat bermula hari penamaan calon pada 29 Julai kepada empat kali setiap hari (9.00 pagi, 1.00 tengah hari, 5.00 petang dan 9.00 malam).