MEDIA SELANGOR MERIAHKAN PESTA PANTUN HAWANA-DBP 2026

SHAH ALAM, 9 MEI 2026 – Media Selangor telah menyertai Pesta Pantun HAWANA–DBP 2026 sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026.
Pertandingan pantun yang memasuki edisi kedua ini dianjurkan oleh BERNAMA dengan kerjasama strategik Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai penaja utama. Berlangsung di Panggung Sari, Kompleks Kraf Kuala Lumpur pada Sabtu, 9 Mei, pertandingan yang bertemakan “Kewartawanan dan Teknologi” ini bertujuan untuk memupuk perpaduan dalam kalangan pengamal media melalui seni sastera warisan bangsa.
Sebanyak lapan pasukan telah mengambil bahagian dalam pertandingan ini melibatkan agensi media dan kerajaan termasuk BERNAMA, RTM, JAKIM, Media Prima Berhad (TV3), Astro Audio News, Berita Harian, Sinar Harian, dan Media Selangor.
Penyertaan Media Selangor mencerminkan komitmen berterusan organisasi dalam memartabatkan seni pantun sebagai warisan budaya Melayu, di samping memperkukuh hubungan dan semangat kebersamaan dalam kalangan pengamal media negara. Penyertaan ini juga diyakini mampu memperkukuh penjenamaan Media Selangor serta meningkatkan keterlihatan organisasi sebaris dengan agensi media nasional lain.
Empat pasukan iaitu BERNAMA, TV3, RTM dan Berita Harian berjaya mara ke peringkat separuh akhir pertandingan. Berita Harian memperoleh tempat keempat manakala RTM merangkul tempat ketiga dengan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM500 dan RM1,000.
Pertandingan akhir pula menyaksikan aksi sengit antara BERNAMA dan TV3. Walaubagaimanapun, keputusan bagi gelaran juara dan naib juara akan diumumkan semasa kemuncak sambutan HAWANA pada Jun ini, dengan juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM3,000.
Hari Wartawan Nasional (HAWANA) yang disambut setiap tahun bertujuan menghargai sumbangan wartawan dan pengamal media terhadap pembangunan negara. Pesta Pantun HAWANA–DBP pula merupakan antara inisiatif kebudayaan yang mengetengahkan kreativiti serta jati diri pengamal media menerusi warisan sastera klasik Melayu.
