MAJLIS ANUGERAH HADIAH SASTERA SELANGOR 2021 RAI KARYAWAN

MAJLIS ANUGERAH HADIAH SASTERA SELANGOR 2021 RAI KARYAWAN

SHAH ALAM, 10 SEPTEMBER 2022 – Kerajaan Negeri Selangor menganjurkan anugerah Hadiah Sastera Selangor sejak 2015 bagi memartabat sastera Melayu seterusnya mengembangkan bakat penulis di seluruh negara.

Penyertaan terbuka kepada seluruh warganegara meliputi tiga kategori iaitu esei, puisi, dan cerpen yang tersiar dalam Selangorkini. Selangorkini adalah akhbar mingguan terbitan Media Selangor Sdn Bhd (MSSB) iaitu media rasmi Kerajaan Negeri Selangor.

Bagi edisi Hadiah Sastera Selangor 2021, karya terpilih daripada Dewan Sastera dan Tunas Cipta terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), majalah kebudayaan Svara dan laman media sosial Tukang Puisi turut dinilai. Sebanyak 190 karya diteliti panel juri diketuai Dr. Faisal Tehrani.

Seramai 15 penulis membawa pulang wang tunai keseluruhan berjumlah RM27,000. Pemenang utama setiap kategori menerima RM5,000 manakala empat hadiah penghargaan RM1,000 setiap satu kategori.

Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari dan Tan Sri Johan Jaaffar menyampaikan hadiah tersebut kepada para pemenang dalam majlis anugerah Hadiah Sastera Selangor 2021 di The Saujana Hotel Kuala Lumpur.

Pada majlis tersebut, buku himpunan karya pemenang Hadiah Sastera Selangor 2020 dan 2021 iaitu Sipena V turut dilancarkan. Selain itu, tiga buku terjemahan terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) iaitu Gelagat dan Ragam Orang Melayu karya Frank Swettenham, Sejarah Selangor 1766-1933 (JM Gullick) dan Tunku: Kelana Penuh Cinta (Kobkua
Suwannathat-Pian).

Program Hadiah Sastera Selangor diadakan sejak 2015 hasil cetusan ilham YAB Dato’ Seri Amirudin Shari ketika beliau masih memegang jawatan sebagai Exco Pembangunan Belia, Sukan, Kebudayaan dan Keusahawanan.

Majlis anugerah Hadiah Sastera Selangor 2021 juga disiarkan secara langsung di YouTube SelangorTV (https://www.youtube.com/watch?v=tMUltlIfQCA) dan Facebook Media Selangor (https://www.facebook.com/MediaSelangor) untuk tontonan umum.

Tags: No tags