MAJLIS ANUGERAH HADIAH SASTERA SELANGOR 2021
10 September 2022
Majlis anugerah Hadiah Sastera Selangor (HSS) 2021 dijayakan oleh Media Selangor untuk tahun keenam dan buat pertama kalinya menjalin kerjasama dengan tiga penerbit iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Svara dan Tukang Puisi.
Sebanyak 190 karya yang disiarkan daripada tiga buah penerbit termasuk Selangorkini telah diteliti oleh panel juri yang diketuai oleh Dr. Faisal Tehrani.
Seramai 15 penulis membawa pulang wang tunai keseluruhan berjumlah RM27,000. Pemenang utama setiap kategori menerima RM5,000 manakala empat hadiah penghargaan RM1,000 setiap satu kategori.
Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari dan Tan Sri Johan Jaaffar menyampaikan hadiah tersebut kepada para pemenang dalam majlis anugerah HSS 2021 yang berlangsung di The Saujana Hotel Kuala Lumpur.
Senarai nama pemenang utama bagi setiap kategori adalah seperti berikut;
Kategori Esei:
Pemenang utama – Abdullah Hussaini (Merenung gambar dalam puisi)
Kategori Sajak:
Pemenang utama – Rasyidah Othman (Tuhan dari daerah sunyi)
Kategori Cerpen:
Pemenang utama – Lokman Hakim (Jam menanggalkan jarumnya iaitu menghitung)
Turut hadir menyerikan majlis adalah Sasterawan Negara, Dato’ Seri Dr A. Samad Said dan Dato’ Dr Mohd Anwar Ridhwan.
Pada majlis tersebut, turut dilancarkan tiga buku terjemahan terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) iaitu Gelagat dan Ragam Orang Melayu karya Frank Swettenham, Sejarah Selangor 1766-1933 (JM Gullick) dan Tunku: Kelana Penuh Cinta oleh Kobkua Suwannathat-Pian selain buku himpunan karya pemenang HSS 2020 dan 2021 iaitu Sipena V.