HALA TUJU DAN FOKUS MEDIA SELANGOR BAGI TAHUN 2026

HALA TUJU DAN FOKUS MEDIA SELANGOR BAGI TAHUN 2026

 

SHAH ALAM, 11 FEBRUARI – Media Selangor Sdn. Bhd. menetapkan tahun 2026sebagai “Tahun Pelaksanaan” dengan fokus untuk melaksanakan pelan dan inisiatif editorial secara menyeluruh, menambah baik operasi serta mencapai sasaran hasil yang telah ditetapkan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree berkata hala tuju tersebut diumumkan pada sesi perjumpaan warga kerja hari ini yang menekankan pendekatan yang lebih fokus, tersusun, dan berorientasikan hasil.

Menurut beliau, pada tahun ini, Media Selangor akan memperkukuh aktiviti pembangunan perniagaan melalui pengurusan acara, program latihan serta perkhidmatan perundingan media sebagai langkah mempelbagaikan sumber pendapatan, dan tidak lagi hanya bergantung pada pengiklanan.

Pada masa sama, Mohammed Fareed memaklumkan Media Selangor telah diberi kepercayaan menjadi Pengerusi Jawatankuasa Media, Komunikasi, Digital dan Penyiaran temasya Sukan Malaysia (SUKMA) tahun ini, sekali gus membuka peluang berharga untuk memperkukuh peranan syarikat di peringkat negeri dan nasional.

Beliau turut memaklumkan bahawa syarikat akan melaksanakan reformasi perkhidmatan bagi menambah baik manfaat kakitangan, di samping meneruskan proses konvergensi media serta menggalakkan adaptasi teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan warga kerja. Beliau juga menekankan pentingnya usaha memupuk budaya kerja berpasukan yang sihat dan memperkasakan amalan kritikan membina bagi memastikan organisasi kekal relevan dan berdaya saing.

Mengakhiri ucapannya, beliau mengajak seluruh warga kerja Media Selangor supaya berani keluar daripada zon selesa serta terbuka kepada idea dan penyelesaian baharu.

Beliau juga mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina dan Selamat Menyambut Ramadan kepada semua kakitangan.

Tags: No tags