MEDIA SELANGOR MASUK KAMPUNG 2.0: MEDIA SELANGOR SANTUNI WARGA KAMPUNG HULU SELANGOR

HULU SELANGOR, 31 OKTOBER 2026 – Memasuki edisi keduanya, Media Selangor meneruskan komitmen kemasyarakatan menerusi penganjuran program Media Selangor Masuk Kampung 2.0 bagi menyantuni warga tempatan di sekitar daerah Hulu Selangor. Inisiatif ini bertujuan untuk memperkukuh hubungan silaturahim antara Media Selangor dengan komuniti setempat, di samping menyokong aspirasi pembangunan komuniti melalui aspek pendidikan, kebajikan, pembangunan kemudahan, dan kerjasama strategik.
Program telah berlangsung di Masjid Al-Falah, Kampung Kalong Tengah, Mukim Hulu Yam, Hulu Selangor bermula jam 8:00 pagi sehingga 3:00 petang dan telah dirasmikan oleh YB EXCO Perumahan & Kebudayaan Negeri Selangor, YB Datuk Borhan Aman Shah. Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor, Tuan Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree, dan Pegawai Daerah Hulu Selangor, Tuan Yuhanas Auree Kamaruddin turut hadir menyaksikan majlis perasmian tersebut.
Penganjuran kali ini turut menyaksikan kolaborasi bersama 13 rakan strategik, termasuk Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB), Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS), Bukit Beruntung Golf & Country Club (BBGC), Selgate Corporation, Pengurusan Air Selangor, Worldwide Holdings, KDEB Waste Management, KPS Berhad, Selangor FC, PEMADAM Kebangsaan, Management and Science University (MSU), Concorde Hotel Shah Alam dan Wyndham Acmar Klang yang tampil menyokong pelbagai aktiviti kemasyarakatan serta penyampaian sumbangan kepada penduduk setempat.
Antara aktiviti menarik yang dianjurkan ialah pemeriksaan kesihatan, pemberian vaksin influenza, pemeriksaan mata dan gigi, gotong-royong, kenduri rakyat, demo penghasilan baja kompos, bengkel EcoBricks, pertandingan mewarna kanak-kanak, dan cabutan bertuah. Seramai 115 orang sukarelawan daripada pelbagai agensi termasuk 30 orang sukarelawan MSSB telah turun padang dan menyumbang tenaga dalam aktiviti gotong-royong dan rewang komuniti.
Penganjuran program ini membuktikan peranan berterusan Media Selangor yang bukan sahaja bertindak sebagai agensi media rasmi negeri, malah sebagai organisasi yang prihatin dalam menyokong agenda kebajikan masyarakat dan nilai Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
