MEDIA SELANGOR SERTAI SMG MEGA MANGROVE CLEANUP 2026, CIPTA REKOD MBOR SEMPENA HARI BAKAU SEDUNIA

PELABUHAN KLANG, 26 JULAI 2026 – Warga Media Selangor Sdn. Bhd. (MSSB) berbesar hati menyertai Program SMG Mega Mangrove Cleanup 2026 yang telah berlangsung di Mangrove Point, Pelabuhan Klang pada Ahad lalu sempena Hari Bakau Sedunia.
Program anjuran Landasan Lumayan Sdn. Bhd. (LLSB) menerusi inisiatif Selangor Maritime Gateway (SMG) ini telah menghimpunkan seramai 1,615 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan, sektor korporat, institusi pengajian tinggi, badan bukan kerajaan (NGO), orang awam, serta komuniti setempat. Penyertaan padu program ini berjaya mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Program Pembersihan Hutan Bakau Terbesar di Malaysia.
Seramai 12 orang sukarelawan MSSB telah turun padang dan menyumbang tenaga dalam aktiviti pembersihan kawasan pantai serta penanaman pokok bakau demi memelihara ekosistem muara dan pesisir pantai Selangor. Menerusi usaha kolektif tersebut, pasukan sukarelawan MSSB berjaya mengumpul sebanyak 60 kilogram sampah di sekitar kawasan penanaman dan pembersihan.
Penyertaan proaktif ini bukan sahaja memperkukuh komitmen Media Selangor terhadap agenda ESG, malah memupuk semangat kebersamaan warga kerja dalam mendukung usaha pemeliharaan alam sekitar untuk generasi masa hadapan. Bersama-sama, kita memelihara alam sekitar demi Selangor yang lebih hijau.
