PROGRAM CSR RAMADAN 2026

SHAH ALAM, 20 FEBRUARI 2026 – Media Selangor Sdn Bhd akan menganjurkan Program CSR Ramadan – Memasak dan Pengagihan Bubur Lambuk pada Khamis, 5 Mac 2026, jam 12.00 tengah hari di Masjid Al-Ikhlas, Seksyen 13, Shah Alam.
Program ini merupakan inisiatif CSR pertama Media Selangor bagi tahun 2026 dan dilaksanakan dengan kerjasama dua anak syarikat Menteri Besar Incorporated (MBI) Selangor iaitu Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) dan Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS). Sebanyak 1,000 bekas bubur lambuk akan disediakan dan diagihkan kepada masjid, komuniti setempat, agensi kerajaan serta golongan memerlukan di sekitar Shah Alam. Terdapat kira-kira 30 kakitangan Media Selangor daripada pelbagai jabatan akan turut membantu menyampaikan sumbangan tersebut sebagai tanda keprihatinan dan sokongan moral syarikat terhadap kebajikan masyarakat setempat.
Selain daripada berkongsi rezeki, program ini bertujuan menyantuni komuniti setempat sempena bulan Ramadan, mengukuhkan hubungan silaturahim antara agensi serta memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan warga kerja. Platform ini juga membuka peluang buat warga kerja Media Selangor untuk menyelami denyut nadi masyarakat, terutamanya golongan asnaf dan petugas barisan hadapan yang bertugas di sekitar kawasan tersebut. Kehadiran rakan strategik seperti KHSB dan YAWAS membuktikan bahawa sinergi korporat mampu membuahkan hasil yang lebih bermakna buat kesejahteraan rakyat Selangor.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen Media Selangor dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat secara berterusan serta memperkukuh kerjasama strategik antara anak-anak syarikat di bawah MBI Selangor, selaras dengan SDG 17: Partnerships for the Goals.
